Jumlah Paparan Halaman

Isnin, 3 Oktober 2011

Kita Yang Semakin Menyombong.....


Kisah di restoran
Setelah puas berpusing-pusing mencari kedai makan, kami singgah ke sebuah restoran makanan segera. Tidak ramai pengunjung kelihatan di situ melainkan tiga meja dipenuhi dengan pelanggan. Tetapi apabila saya melangkah ke kaunter, saya dapati hanya satu kaunter sahaja yang dibuka kerana hanya ada seorang sahaja petugas. Cepat-cepat saya berbaris di belakang tiga orang pelanggan. Tidak sampai seminit, ada tiga orang pelanggan lagi di belakang saya.
Hangat hati mula terasa. 'Kenapa hanya ada seorang petugas di restoran antarabangsa ini? Mana yang lain? Mengapa pengurus membenarkan mereka bercuti? Bukankah pada hari cuti umumlah lebih ramai para pengunjung yang akan datang menjamu selera?'
'Mengapa gadis yang bertugas lambat sangat melayani pelanggan di hadapannya? Dua lagi pelanggan di hadapan tentu akan membuat pesanan untuk sekurang-kurangnya 3-4 orang. Kalau seorang pelanggan mengambil masa lima minit, tentu dua orang akan mengambil masa 10 minit. Wah! Lama sangat, tu!' Hati saya mengarang cerita yang tak tentu fasal akibat naik darah.
Belum pun lima minit terpacak menanti giliran membuat pesanan, dua orang wanita muncul dari arah tempat duduk lalu terus menghimpit ke kaunter. Mereka adalah ibu dan anak berdasarkan wajah mereka yang serupa. Air muka mereka kelihatan keruh.
Si ibu terus membebel. Leterannya disambut oleh si anak. Saya mengagak yang mereka tidak puas hati dengan kelewatan mendapat pesanan setelah lama menanti. Sesekali saya terdengar perkataan 'perkhidmatan pelanggan' disebut-sebut oleh si ibu. Kata-kata itu disahut oleh si anak yang tidak kurang becoknya. Dalam diam, saya mengiyakan kata-kata mereka. Memang sepatutnya petugas itu dibahasakan. Pengurus restoran ini patut meletak jawatan!
Saya nampak si gadis yang bertugas mula hilang seri senyumannya. Malah, wajahnya sudah mencebir akibat dileteri. Kalau saya memakai kaca mata ketika itu, pasti saya nampak air mata yang bertakung di tubir matanya. Dia hampir menjerit meminta rakannya di dapur segera menyiapkan pesanan. Dan, dari tempat saya berdiri, saya nampak hanya seorang sahaja petugas yang menjadi tukang masak di dapur.
'Alahai, kasihannya mereka.' Detik hati saya. 'Apa kata kalau gadis itu adalah anak saya?'
Tiba-tiba, saya mula berasa kasihan terhadap kami semua sebagai pelanggan kerana menyombong lalu berpegang pada prinsip the customer is always right pada waktu sebegitu. Kasihan kerana kami marah pada sesuatu yang tidak akan mengubah keadaan. Kami tetap akan lambat menerima pesanan kerana kurangnya kakitangan yang bertugas. Lainlah jika kami bersingsing lengan dan turun ke dapur untuk memasak sendiri pesanan!

Sombong dan meyombong

Menyombong, bukannya sombong. Sombong adalah sikap kekal yang sebati dalam diri seseorang, sementara menyombong hanyalah lakonan. Kita selalu berlakon membawa watak orang yang sombong. Beraksi sombong untuk mempertahankan hak atau kehendak kita. Menyombong kerana mempunyai persepsi, orang lain tidak boleh memperkotak-katikkan kita kalau mempamerkan wajah serius dengan cebik bibir dan suara yang mendatar.
Sebab itu di jalanraya, ada di antara kita menyombong dengan tidak mengangkat tangan pun kepada pemandu di belakang bila hendak berpindah ke lorongnya. Tidak mahu kelihatan toya kerana berlemah-lembut. Menyombong kerana takut dihon oleh pemandu itu kalau kita berperangai molek. Di kompleks membeli-belah, apabila adik promosi telefon bimbit tampil menghulur brosur, kita buat-buat tak nampak akan kehadirannya. Menyombong kerana takut termakan ayat-ayatnya lalu terbeli telefon bimbit ketiga.
Pendek kata, bila kita berdepan dengan seseorang yang tidak kita kenali, maka lakonan sombong itu kita pamerkan sebagai defense mechanism atau mekanisme pertahanan agar orang lain segan dengan kita. Soalnya, mengapa kita defensif dengan menyombongkan diri? Ia berpunca daripada pengalaman-pengalaman buruk yang pernah kita alami.
Pengalaman dipermain, diperlekeh atau ditipu menjadikan kita lebih berprasangka terhadap seseorang yang baru dikenali. Su'u dzan, atau bersangka buruk terhadap seseorang akan menjadikan kita serik untuk membuka hati dan perasaan dengan mudah. Kita sanggup berperangai bengis dan berhati kering supaya orang yang berdepan dengan kita tidak berpeluang memanipulasi diri kita.
Memilih sikap menyombongkan diri sebagai cara kita berhati-hati ini sememangnya bagus. Tetapi, apabila lakonan ini sebati di dalam diri, ia sudah menjadi karektor. Apabila ia menjadi karektor, ia adalah peribadi diri. Kerana ia bukan lagi lakonan untuk menyombong, ia sudah menjelma sebagai sikap sombong diri. Topeng sudah melekat menjadi kulit wajah!
Kita tidak akan sedar dengan sikap buruk ini kerana setiap kali bercermin, kita akan lihat diri kita yang sama, iaitu yang baik dan elok. Sedangkan, bila orang lain melihat kita, mereka nampak diri kita yang hodoh. Ketika itu, meskipun kita berasa diri kita hanya berlakon sombong, sebenarnya orang lain yang melihat akan nampak diri kita yang benar-benar sombong kerana kita sudah menjiwai watak buruk itu.
Justeru itu, kita perlu mengamalkan sikap husnul dzan atau bersangka baik bila berdepan dengan orang lain, kerana ia akan memulihkan kita daripada penyakit yang tumbuh akibat terlalu bersandiwara di pentas dunia!

Jangan Takot Kawin Awal,,,,


Saya berusia 21 tahun, dan sudah berkahwin. Masih muda bukan? Suami saya berusia 23 tahun. Juga masih muda. Kami berdua masih belajar. Jadi, mengapa berkahwin? Kalau ikut kata mak ayah, "Nak bagi bini makan apa? Pasir?"
Perjalanan cinta saya tidak mudah. Sebelum berkahwin, saya pernah teruk dikecewakan bekas kekasih. Dia minta masa 3 tahun dari tarikh kami 'declare', untuk bersedia untuk berkahwin. Hampir 3 tahun, saya ditinggalkan untuk perempuan lain. Kecewa? Sudah tentu. Jujur, saya hampir bunuh diri. Saya mengalami tekanan hidup sehingga tidak berhubung dengan dunia luar.
Tapi selepas itu baru saya sedar kehadiran suami saya yang sudah 4 tahun menunggu peluang. Pada mulanya, saya ingat sekadar 'cinta rebound', tetapi selepas 2 bulan berkenalan dan bercintan, suami saya melamar untuk berkahwin. Pada mulanya, saya ingat satu gurauan. Akhirnya si dia berani hubungi ayah saya dan minta izin untuk berkahwin kerana takut kehilangan saya lagi.
Ayah saya pun dahulu berkahwin ketika belajar; ketika beliau tahun 1 peringkat ijazah.
Suami saya pelajar perubatan tahun 3, dan saya cuma tinggal 2 bulan untuk mengakhiri pengajian. Ayah saya bersetuju memandangkan saya sudah kecewa, takut juga pisang berbuah dua kali. Akhirnya, kami berkahwin. Dengan mahar RM 200, sebentuk cincin emas, tiada hantaran, tiada majlis, kami bernikah.
Simple bukan? Kenapa perlu pening?
Kalau anda lelaki, anda mesti ingin berikan segala yang terbaik untuk bakal isteri anda.
Dan, kalau anda perempuan seperti saya, semestinya inginkan hantaran yang tinggi (lulusan ijazah sekarang, hantaran RM10K ke atas). Perlu tidak?
Maaf perempuan, kalau terasa. Saya bukan jual diri, saya tidak perlukan hantaran RM10-20K. Saya tidak letak harga untuk nilai diri sendiri dan harga cinta saya. Ini masalah kalau kita kahwin cara Melayu; bukan cara Islam.
Saya perempuan lulusan ijazah, saya ada tulang 4 kerat, dan saya boleh berusaha, kenapa perlu mengharap dengan lelaki? Suami bukan untuk dibebani, tapi untuk disenangi. Isteri bukan untuk dibeli, tapi untuk dikasihi.
Kos kahwin sekarang paling rendah pun RM20K serba serbi. Hantaran, majlis, belum baju, pelamin. Tapi cuba fikir, perlu tidak? Baju raya kan masih ada, cantik lagi. Kasut raya pun masih baru.
Kenapa perlu buat majlis di hotel, dewan orang ramai kan ada? Kalau rasa sangat mahal untuk katering, boleh upah orang masak, tinggal sediakan bahan dan peralatan. Bersanding tak perlu, buat penat badan duduk macam tunggul depan orang.
"Seganlah. Nanti orang kata apa."
"Isk, buat malu belajar tinggi-tinggi, tak dapat hantaran."
Hai, ni mentaliti Barat. Bagi yang beragama Islam, ingat rukun nikah.
Tanggungjawab selepas kahwin yang penting. Lebih baik duit sewa pelamin jadi duit persiapan untuk anak pertama. Prioritikan penggunaan duit anda. Kos bersalin bukan murah. Kalau di hospital kerajaan, paling kurang perlu ada RM400-500. Tapi di hospital swasta, minimum RM2000. Kos ada anak sangat tinggi sekarang.
Pernah cuba lihat harga setin susu bayi di pasar? Harga lampin pakai buang? Dan sekarang, anda masih terfikir pelamin itu penting? Ini tak kira duit nak beli kenderaan, beli rumah. Pening!!
Jadi jangan bebankan diri anda dengan majlis perkahwinan yang membazir dan tidak perlu.
Saya bahagia sekarang. Boleh keluar dengan suami tanpa rasa takut dan malu, disentuh lelaki bukan mahram. Dan suami saya tidak perlu takut saya diambil lelaki lain seperti dahulu. Apa semua yang pasangan bercinta lakukan, kini kami lakukan dengan halal. Dan kami boleh lakukan lebih dari itu, dengan halal. Tidak perlu risau. Kami aman dan bahagia. Saya dan suami masih bercinta. Masih belajar mengenal sesama sendiri. Dan percayalah, tak guna bercinta lama-lama.
Seganlah keluar dengan pasangan yang tidak halal untuk anda. Saya dan suami, masih seperti pasangan yang baru bercinta. Saya mampu tanggung hidup sendiri, kerja dan cari duit sendiri. Buat apa menyusahkan suami? Dan suami berusaha belajar bersungguh-sungguh (bagi pelajar perubatan, anda faham maksud saya), untuk mendapat keputusan yang cemerlang. Saya tahu ego lelaki tercabar, tetapi saya jujur cintakan suami saya. Saya tak ingin jadi beban, cukup asal dia berasa senang dengan saya.
Tidak perlu nafkah yang besar, semampu yang ada saya terima.
Bakal-bakal isteri sekalian, bersyukurlah dengan suami anda. Dan bakal-bakal suami sekalian, hargai isteri kamu. Terima kekurangan dan kelemahan pasangan anda. Persamaan membina keserasian, perbezaan itu melengkapkan.
Rezeki Tuhan ada di mana-mana. Jangan putus asa. Berkahwinlah! Semoga anda semua merasa tenang dan bahagia.

Ahad, 2 Oktober 2011

Memahami Keperluan dan Perlaksanaan Hukum Hudud Menurut Al-Quran


Hudud adalah kemuncak yang paling tinggi dalam pengajian dan pembelajaran undang-undang Islam. Ini kerana, hudud adalah satu-satunya hukum yang diturunkan daripada sisi Allah s.w.t dan bukan ciptaan sesiapapun. Bahkan hudud adalah hukum yang bukan sahaja turun dalam Al-Quran, bahkan, turut diturunkan dalam kitab Taurat dan Injil. Inilah yang terbukti, apabila terkandung dalam peristiwa berikut:

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Omar r.a katanya: Sesungguhnya pernah suatu ketika dua orang Yahudi lelaki dan perempuan yang berzina dihadapkan kepada Rasulullah s.a.w. Kemudian Rasulullah s.a.w berangkat menemui orang-orang Yahudi lalu bertanya: Apakah hukuman ke atas orang yang melakukan zina sebagaimana yang terkandung di dalam kitab Taurat? Mereka menjawab: Kami akan mencontengkan muka mereka dengan warna hitam, dan menaikkannya di atas kenderaan dalam keadaan beririgan, kemudian kami membawa mereka mengelilingi jalan. Selanjutnya baginda berkata: Datangkanlah kitab Taurat itu sekiranya kamu berlaku jujur. Kemudian mereka mengambil kitab Taurat dan membacanya. Ketika bacaan mereka sampai pada ayat rejam, tiba-tiba dia meletakkan tangannya di atas ayat tersebut dan dia hanya membaca ayat yang sebelum dan selepasnya. Abdullah bin Salam yang turut bersama Rasulullah s.a.w pada waktu itu berkata kepada beliau: Perintahkanlah dia supaya mengangkat tangannya. Pemuda tadi lalu mengangkat tangannya. Dan ternyata ayat yang ditutupinya itu ialah ayat rejam. Kemudian Rasulullah s.a.w memerintahkan agar kedua orang yang berzina tadi dihukum rejam. Lalu hukuman itupun dilaksanakan. Abdullah bin Omar berkata lagi: Aku adalah termasuk daripada mereka yang ikut merejam mereka. Dan aku melihat lelaki tersebut berusaha mengelak dari rejaman batu itu.

Daripada kedudukan hadith ini, dapat dilihat dua perspektif utama, iaitu perlaksanaan hudud kepada orang-orang bukan Islam yang bernaung dalam kerajaan Islam, dan juga kewujudan ayat rejam dalam kitab taurat iaitu ajaran nabi Musa a.s.

Namun begitu, bagi penulis, hudud adalah tanggungjawab yang terdapat dalam "fail kerja" seorang yang diangkat menjadi pemimpin sebuah negara Islam. Ini paling mudah untuk difahami dalam Al-Quran seperti dalam ayat berikut:

Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat. Al-Quran Surah Al-Nisa' 4:54.

Menurut Imam Ibnu Kathir dalam tafsirnya ayat ini menyatakan dengan jelas mengenai tanggungjawab seseorang untuk menjalankan amanah yang ada pada dirinya tidak kiralah amanah Allah seperti salat puasa dan sebagainya, juga amanah sesama manusia. Dalam konteks hudud, amanah ini dipikul oleh ahlu amri (pemerintah) dan diturunkan kuasa kepada para hakim yang mengadili kes-kes hudud. Rakyat tidak memikul amanah melaksanakan hudud, tetapi pemerintah memikul tanggungjawab ini.

Pemahaman mengenai keperluan hudud
Perlaksanaan hudud sering disalah tafsirkan bukan sahaja dikalangan bukan Islam bahkan dikalangan orang Islam sendiri. Seringkali hudud dilihat sebagai satu undang-undang zalim dan melampaui batas kemanusiaan. Kalau dilihat, perintah mengenai undang-undang hudud duduk sebaris dengan perintah-perintah lain dalam agama kita seperti perintah mengerjakan solat, puasa, berkahwin dan sebagainya iaitu termaktub dalam kitab Al-Quran yang sama.

Penulis mengakui, dalam zaman moden ini, pelaksanaan hudud bukanlah sekadar berkobar-kobar untuk melakukannya sahaja, tetapi perlulah memenuhi keperluan tatacara perundangan semasa. Justeru, perlulah wujud satu kumpulan kerja yang terdiri daripada bukan sahaja ahli-ahli agama malah ahli-ahli perundangan untuk mengkodifikasikan hukum hudud sebagai hukum perdana negara, sesuai kedudukannya sebagai hukum Allah.

Sebilangan besar masyarakat hari ini amat kabur dengan gambaran sebenar hukum hudud ini. Mereka tidk dapat membayangkan bagaimana tangan seseorang itu dipotong, seseorang direjam dengan batu bersaiz tapak tangan, seseorang disebat dan sebagainya. Gambaran ini bersifat "hopping" sebenarnya iaitu melompat dari satu bab dengan meninggalkan bab-bab yang penting yang lain (seperti pembacaan novel oleh sesetengah daripada kita). Adalah menjadi tanggungjawab kita untuk menyebarkan kefahaman sebenar mengenai hudud untuk membantu masyarakat kita sedar tentang peri pentingnya hudud dan perlaksanaannya yang berkesan dalam masyarakat.

Kedudukan Hudud dalam Undang-undang Islam
Para ulama telah bersepakat untuk meletakkan hudud sebagai undang-undang tertinggi dalam sabitan hukuman jenayah dalam Islam. Islam membahagikan undang-undang Islam kepada dua iaitu hukuman hudud (had-had) dan hukuman ta'zir. Hukuman ta'zir adalah undang-undang mengenai kesalahan dan hukumannya yang diletakkan oleh pemerintah mengikut keperluan masyarakat semasa. Sebagai mana kedudukannya sebagai undang-undang jenayah yang tertinggi dalam masyarakat Islam, kaedah pembuktian hudud juga adalah tinggi dan ketat untuk mensabitkan dengan pendakwaan.

Kedudukan Pembuktian dalam Hudud
Dalam mempelajari undang-undang, dalam kes-kes jenayah, pihak pendakwaan perlulah mencapai tahap pembuktian yang membolehkan hakim yakin bahawa tertuduh melakukan kesalahan tersebut atau dalam istilah undang-undang hari ini "reasonable doubt", iaitu sekitar 90-100% bahawa wujud kemunasabahan dalam penyabitan kesalahan seperti yang didakwa. Tetapi dalam pembuktian hudud, pihak yang mendakwa perlulah membawa hujahan yang membolehkan hakim menyakini dengan hak bahawa orang yang kene tuduh telah melakukan kesalahan hudud seperti yang didakwa. Inilah yang membezakan hukuman hudud dengan hukuman ta'zir iaitu pembuktian dalam hukuman hudud hendaklah menghapuskan segala keraguan yang ada atau istilah undang-undangnya "beyond reasonable doubt" iaitu pemberatan sabitan melebihi 100%, samaada 150% atau 200%!

Sabitan terlalu ketat, adakah pesalah terlepas?
oleh kerena pembuktian sabitan terlalu ketat, seperti saksi yang adil yang tidak fasiq, melakukan keseluruhan perintah Allah seperti solat dan zakat dan mempunyai thiqah (kepercayaan) kepada masyarakat, dan kesalahan disaksikan dengan cukup
korum (seperti 4 bagi kes zina dan 2 bagi kes mencuri), menjadikan sabitan bagi pendakwaan amatlah sukar dan hampirlah kepada amat mustahil dengan keadaan masyarakat yang ada sekarang. Tambahan lagi kepada hukuman hudud kepada saksi yang membuat dakwaan dusta atau dakwaan yang gagal disertakan dengan saksi yang kompeten yang boleh dihukum dengan empat puluh kali sebatan sekiranya sabit kesalahan. Walau bagaimanapun, satu-satu kes yang gagal dibawa atau disabitkan dengan kesalahan hudud, boleh dibicarakan atas peruntukan undang-undang ta'zir sekiranya bukti yang ada mencukupi bagi pendakwaan dibuat.

Untuk memahami kenyataan ini, penulis berpendapat, wajar untuk kita wujudkan satu kajian kes bagi kesalahan hudud. Sebagai contoh, bagi kes penzinaan. Dalam satu kes yang berlaku seorang wanita ditangkap berkhalwat dengan seorang lelaki yang mana kesalahan zina boleh dibicarakan atas hukuman hudud. Fakta kes: Suharni ditangkap berkhalwat bersama dengan seorang lelaki, Suhar yang bukan mahramnya dan didapati ketika tangkapan dibuat, pintu bilik hotel didapati terkunci. Selepas diarahkah membuka pintu, selepas 10 minit Suhar membuka pintu dan didapati Suharni berada dalam keadaan berpakaian penuh tetapi berselimut di atas katil. Begitu juga dengan Sahar. Walau bagaimanapun, selepas pemeriksaan dibuat, terdapat satu kondom yang telah digunakan dengan kesan air mani pada kondom tersebut. Pemeriksaan lanjut di hospital juga mendapati terdapat kesan air mani dalam faraj Suharni yang positif dengan profil DNA Suhar dan terdapat kesan koyakan pada faraj yang pada kebiasaannya disebabkan oleh zakar lelaki. Pendakwa kemudian melihat ada kes bagi mendakwa Suhar dan Suharni iaitu kesalahan berkhalwat dan melakukan persetubuhan haram. Walau bagaimanapun mereka didakwa di bawah Undang-undang Ta'zir dan bukannya hudud. Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara selama 2 tahun atau denda sebayak RM3000.00 atau kedua-duanya sekali. Mereka juga dikehendaki melalui tempoh pemulihan akhlak selama 6 bulan.

Ulasan kes: Melalui pembuktian yang ada iaitu kedudukan air mani yang berada dalam kemaluan si perempuan, mempunyai syak yang kuat bahawa dalam keadaan biasa telah berlaku persetubuhan dimana zakar lelaki telah masuk ke dalam faraj perempuan. Walau bagaimanapun, dalam kes ini, bagi pendakwaan dibawah peruntukan atau kanun hudud amatlah tipis kerana tidak ada sesiapa melihat kejadian kemasukan zakar melebihi hafsyah ke dalam farah wanita terbabit. Melalui kes ini, dapatlah kita fahami bahawa sesuatu kes yang tidak boleh didakwa di atas kanun hudud, boleh didakwa dibawah kanun ta'zir yang diwujudkan oleh pemerintah. Masih ada syak yang kecil bahawa kemungkinan air mani itu diletakkan ke dalam faraj dan zakar lelaki itu tidak pernah masuk ke dalam faraj wanita berkenaan.

Pendakwaan hudud
Berbeza dengan kes-kes jenayah biasa di bawah Kanun ta'zir, bagi kesalahan yang melibatkan penzinaan, hendaklah dibawa kehadapan hakim oleh orang yang menyaksikan kejadian itu. ini adalah kerana, orang yang menuduh seseorang melakukan perbuatan zina tetapi tidak mampu untuk membawa saksi yang kompetan dan mencukupi, boleh dikenakan hukuman had 40 rotan. Terdapat satu pengecualian dalam kes penzinaan oleh suami atau isteri yang disaksikan oleh suami atau isteri dengan mata dan kepala sendiri yang mana tertakluk dalam prosiding lian. Bagi kes-kes yang lain boleh dikemukakan oleh pendakwa sekiranya saksi mencukupi. Ini kerana, kes-kes zina yang dibicara dibawah kanun hudud melibatkan kedudukan nasab dan maruah serta memberi kesan kepada harga diri dan keturunan seseorang. Melalui sekatan yang ada, seseorang tidak sewenang-wenangnya boleh menuduh seseorang lain yang suci dan bersih.

Kes-kes rogol
Persoalan tentang mangsa kes rogol yang kerap kali dianggap penganiayaan kepada mereka sekiranya mengadakan hukum hudud adalah sangat tidak tepat. Pemahaman tentang rogol dalam hukum kanun "common law" seperti undang-undang Inggeris dengan pemahaman rogol berdasarkan hukum kanun hudud dan ta'zir amatlah berbeza. Sebagai contoh, dalam undang-undang moden, rogol didefinisikan sebagai perlakuan persetubuhan yang dilakukan oleh seseorang lelaki terhadap seseorang perempuan tanpa kerelaan perempuan terbabit dalam atau dilakukan dengan paksa atau dilakukan terhadap juvanil perempuan (walau dengan kerelaan).

Dalam Islam, definisi rogol lebih luas. Rogol dibahagikan kepada beberapa kategori iaitu rogol dewasa, rogol kanak-kanak dan rogol mahram. Bagi jenisnya pula, rogol dibahagikan kepada dua iaitu rogol oleh orang yang dikenali, rogol oleh orang yang tidak dikenali, sementara bentuk paksaan terbahagi kepada tiga iaitu terpaksa apabila mangsa diugut akan dicederakan, dan ugutan akan dicederakan orang lain seperti keluarga dan sebagainya dan ugutan keadaan seperti mangsa diugut akan disebarkan gambar-gambar dia dirogol sekiranya melawan. Selain itu ada juga paksaan yang dibuat oleh orang yang berkuasa seperti majikan atau lain-lainnya. Setiap satunya membawa kepada kesan dalam perletakan hukum bagi kes-kes zina.

Seperti yang telah dibincangkan sebelum ini, bagi kes-kes rogol, seseorang yang didakwa dirogol hendaklah membuktikan bahawa dianya dirogol dan bukan atas kerelaan bahkan paksaan sama ada paksaan secara terus atau paksaan persekitaran. Ini bukan bererti seseorang perempuan itu perlu membuktikan behawa si lelaki berkenaan yang merogolnya Ini kerana pembuktian merogol adalah tinggi. Bahkan cukup menampilkan bukti atau saksi yang menyokong bahawa dia dirogol seperti saksi pakar (doktor) atau orang yang mendengar jeritannya. Perlu diingat, penyabitan zina bagi mangsa rogol masih perlu dibuat berdasarkan prinsip asas pembuktian zina dibawah kanun hudud iaitu empat saksi yang adil. Tanpa pembuktian ini, pendakwaan tidak boleh atas kapasiti hudud, tetapi boleh atas kapasiti takzir. Namun begitu, pihak mangsa masih boleh mengelak hukuman takzir sekiranya boleh membuktikan bahawa wujud keterpaksaan dalam kes beliau dirogol seperti yang disebutkan tadi. Ini kerana, dalam Islam, keterpaksaan bukanlah berbentuk niat (mens rea) atay qasad pelaku dan sabitan tidak boleh dikenakan.

Bagi kes rogol yang menyebabkan mangsa mengandung atau melahirkan anak, pembuktian bahawa beliau dirogol secara paksa dan bukannya dalam kehendaknya hendaklah dibuktikan. Bagi kes-kes seperti ini juga sukar untuk sabit disisi hudud kerana masih wujud kesamaran tentang paksaan itu tadi. Sekiranya dakwaan dibuat atas kanun ta'zir, pembuktian nbahawa keterpaksaan hendaklah keatas si mangsa.

Kedudukan Perogol (kaum lelaki)
Sebenarnya, kedudukan pembuktian yang terletak kepada kaum wanita mempunyai implikasi yang besar kepada perogol. Bagi kes-kes dimana perogol dapat dikenalpasti, pihak pendakwaan boleh mendakwa perogol dibawah kanun ta'zir bahawa pihak yang dituduh merogol dan sekiranya lemah kes pendakwaan (bukti yang tidak mencukupi), mahkamah boleh mengarahkan pihak yang dituduh supaya mengambil sumpah (yamin) iaitu sumpah laknat dengan kalimah "Wallahi Wabillahi Watallaahi". Sekiranya enggan atas sumpah itu, lelaki itu boleh disabit. Ini berasaskan prinsip keadilan Islam, "pembuktian atas orang mendakwa, dan sumpah bagi yang ingkar (atas dakwaan itu). Sumpah hendaklah dibuat hanya selepas mahkamah mendapati pendakwaan adalah lemah.

Sabitan hudud akibat ikrar (pengakuan)
Jika dibaca perenggan-perenggan sebelumnya, boleh disimpulkan amatlah sukar bahkan sampai ke tahap mustahil untuk mendakwa seseorang atas hudud. Memang benar. Bahkan kalau dilihat pada zaman Rasulullah s.a.w sendiripun, hampir keseluruhan kes hudud disabit akibat pengakuan pesalah, dan bukannya atas bentuk pembuktian lantaran ketatnya pembuktian hudud itu. Rasulullah s.a.w sendiri mengarahkan para kadi untuk seboleh-bolehnya mencari ruang untuk menimbulkan syak atas pendakwaan hudud. Sekiranya telah tidak dapat dicari kelemahan kes, barulah kes berkenaan disahkan atas hudud.

Ikrar bermaksud pengakuan dan dalam konteks hudud, pengakuan melakukan salah satu daripada kesalahan-kesalahan hudud. Pengakuan adalah satu bentuk pembuktian yang tinggi dalam penyabitan sesuatu jenayah. Seseorang yang mengaku bersalah akan diputuskan hukuman. Walau bagaimanapun, dalam kes hudud, pengakuan pesalah perlu diperiksa. Dalam ertikata yang lebih luas, para hakim hendaklah mencari ruang untuk menolak pengakuan terbabit seperti yang dilakukan oleh Rasulullah dengan menyuruh orang yang datang kepadanya yang mengaku berzina pulang dan berkata "mungkin engkau tidak waras". Sehinggalah pesalah tadi mengaku sebayak empat kali dalam waktu yang berbeza, dan mengesahkan zakar telah masuk melepasi hafasyah (kepala zakar) barulah dia disabitkan dengan rejam atau sebat 100 rotan ke atas orang yang mengaku.

Kenapa perlukan hudud?
Selepas melalui beberapa perenggan perbincangan sebelum ini, dapatlah difahami bahawa amatlah ketat penyabitan dibawah hukum hudud ini. Jadi, kenapakah perlu hudud ini? Persoalan ini menjawab apabila kita melihat kepada beberapa perkara. Bagi penulis, hudud adalah menifestasi tertinggi syiar Islam dalam perlaksanaan undang-undang Islam. Ayat Al-Quran yang menetapkan hukuman zina yang ditambah belakangnya "janganlah kamu merasa simpati dalam melaksanakan hukum Allah" dilihat sebagai mempunyai kesan tinggi atas keimanan seseorang. Bayangkan yang disebat atau direjam itu adalah saudara mara kita. Tetapi pelaksaan hudud adalah kesan keimanan yang kukuh oleh pemerintah, hatta pada dirinya sendiri jika melakukan kesalahan. Dengan adanya hudud, iaitu satu hukum yang bukannya diwujudkan oleh manusia, memberi kegerunan kepada rakyat dan masyarakat dan rasa gerun untuk melakukan kesalahan.

Perkara kedua, perkataan had (pluralnya hudud), membawa maksud batasan. Bagi penulis, batasan disini adalah batasan antara manusia dan haiwan. Manusia adalah makhluk yang diberikan akal dan iman sementara haiwan adalah makhluk yang tidak berakal.

Penulis pernah terbaca tentang satu trend yang terjadi di negara barat, iaitu kepuasan bagi pasangan-pasangan yang melakukan seks di padang kolej! Penulis berpendapat, dalam konteks hudud, bukan sahaja lapan mata yang boleh melihat, malah 40 matapun boleh! Kerana seks yang dibuat dalam tempat yang terbuka menyamakan pasangan itu dengan dua ekor lembu yang mengawan ditepi padang. Begitu juga dengan kesalahan-kesalahan hudud yang lain seperti merompak (hirabah) yang menyerupai kekawanan hidupan liar yang menyerang kawanan yang lemah, kesalahan mencuri iaitu mengambil harta seseorang secara berdepan dengan pemiliknya (merampas), dan meminum arak iaitu satu larangan yang sangat luas dalam al-quran yang boleh membawa kepada penzinaan, rogol, bunuh, merompak dan lain-lain kejahatan.

Perbincangan hudud untuk dilaksanakan adalah satu fardhu atau kewajipan orang yang memerintah. Kecintaan untuk melaksanakannya adalah tanggungjawab setiap individu yang bergelar Islam. Kefahaman mengenainya juga amat perlu untuk menjamin pelaksaannya menjadi sempurna, bahkan orang bukan Islam akan menjadi hormat kepada undang-undang Islam atas prinsip yang sangat adil dan saksama. Ingatlah segala apa yang kita pikul sama ada amanah kepada keluarga, negara dan agama, amatlah penting dan akan dipersoalkan detik pertama kematian kita.

Oleh Mohd Amiruddin Hamzah

Hukum Mencabut Bulu Kening....tp ramai jea buat...

Menurut pandangan syara' adalah haram kepada seseorang perempuan mencukur bulu keningnya kerana itu bererti merubah ciptaan Allah dan merubah ciptaan Allah ini adalah dilarang keras di dalam Al-Quran. Perbuatan ini juga menyerupai masyarakat yang bukan Islam, sedangkan Islam sudahpun mempunyai identiti tersendiri dalam soal perhiasan.

Di dalam sebuah hadis yang sahih melarang keras seseorang perempuan itu menyambung rambutnya dan meminta orang lain menyambung rambutnya dan lain-lain, apalagi perbuatan mencukur bulu kening. Kecuali jika bulu-bulu tersebut tumbuh di tempat-tempat yang tidak sepatutnya tumbuh pada diri perempuan, dikala itu wajiblah menghilangkannya, seperti tumbuh bulu di pipi, tumbuh misai dan janggut seperti lelaki, kesemua bulu-bulu ini hendaklah dibuang kerana ia memburukkan paras rupa seseorang perempuan.

Hadis kedua diriwayatkan oleh Al-Bukhari, Muslim dan Abu Daud yang menerangkan bahawa Rasulullah saw bersabda bermaksud:"Allah melaknat wanita-wanita yang mencabut bulu kening atau bulu muka (al-Namisah) atau meminta orang lain mencukur atau mencabut bulu keningnya (al-Mutanammisah), wanita yang mengasah gigi supaya kelihatan cantik.

Berikut adalah fatwa yang dikeluarkan oleh Syaikh Muhammad bin Shalih Al Utsaimin:
Menghilangkan bulu alis (termasuk menggunakan rambut palsu dan tatoo) termasuk salah satu dosa besar, kerana Rasulullah SAW bersabda,
“La’anallaHul waashilata wal mustawshilata wannaamishata wal mutanammishata wal waasyimata wal mustawsyimah” yang ertinya “Allah melaknat wanita yang memasang dan dipasang rambut palsu, wanita yang mencukur bulu alis dan dicukurkan bulu alis dan wanita yang membuat tatoo dan dibuatkan tatoo” (HR. Bukhari no. 5937 dan Muslim no. 2124)

Sabtu, 1 Oktober 2011

Isu Umur Persaraan......abis la sapa2 yang abes study tak de keje......

Najib Lanjutkan Tempoh Persaraan Ke 60/65/70 - Kerja Sampai Mati

Kamu sibuk dgn isu sejarah/Guan Eng, Najib secara senyap buat “long term plan” utk HOLD duit KWSP. Najib seperti biasa mengkambing hitamkan CUEPACS utk membawa usul melanjutkan tempoh parsaraan kpd 60 atau 65 atau 70.

Akan di bentangkankan ke dewan rakyat bulan depan. Alasan yg digunakan utk menolong rakyat menghadapi peningkatan kos sara hidup.

Walaupun baru nak dibentangkan, akibat tidak sensitive rakyat marhaen dan pemimpin PR, persediaan utk menyanggah isu tersebut akan dilakukan tanpa persediaan hujjah yg rapi dan akhirnya ianya akan diluluskan.

Mengapa wajib menentang :
1. Usia 55 keatas adalah usia utk lebih memikirkan hubungan kita dgn ahli keluarga dan Allah dan bukannya masaalah pejabat.

2. Usia 55 keatas selalunya berhadapan dgn pelbagai komplikasi kesihatan dan sekiranya keadaan memudaratkan akan memaksa kita utk berhenti kerja lebih awal dari tempoh persaraan. Siapa yg akan menanggung kos perubatan dan kos sara hidup ? Bukankah ini akan membebankan EKONOMI anak-anak yg baru nak hidup berkeluarga.

3. Utk sektor perkilangan, adakah sesuai UNTUK menggajikan juruteknik/operator yg berumur >50 tahun. Memang kerajaan memperuntukkan undang-undang utk tidak boleh memberhentikan mereka tetapi kesesuaian umur dgn jenis pekerjaan akan memaksa mereka untuk berhenti dgn sendirinya tanpa wang di tangan untuk meneruskan kehidupan. Sekali lagi ini akan membebankan kewangan ahli keluarga beliau sementara menunggu umur beliau 60/65 untuk mengeluarkan caruman KWSP beliau.

4. Terdapat niat terselindung untuk menyekat pengeluaran wang KWSP untuk memudahkan kerajaan mengguna pakai wang tersebut tanpa bimbang ianya akan habis.

5. Terdapat niat terselindung untuk membiarkan wang tersebut tidak dituntut ahli keluarga akibat kematian awal dan akhirnya terperam di baitulmal. Ini menguntungkan kerajaan 100%.

6. Polisi baru ini akan menyebabkan hidup lebih sukar di usia meningkat tua. Ibubapa yg berhenti kerja awal akibat ketidaksesuaian kerja dgn umur akan terpaksa melakukan kerja lain sementara menunggu tempoh matang pengeluaran kwsp. Pekerjaan baru mengambil masa utk stabil.

7. Anak2 mungkin terpaksa berhutang untuk menampung kos kehidupan ibubapa meningkat tua yg bersara awal drpd tempoh matang. Wang persaraan ibubapa pula digunakan untuk melunaskan hutang tersebut.
Sekarang anda masih sihat dan anda mungkin memikirkan cadangan itu baik. Tetapi adakah anda tahu tahap kesihatan anda apabila usia meningkat 55 keatas ? Apabila kesihatan terganggu anda tiada masa utk memikirkan soal kerja melainkan cukup sedikit keewangan drpd wang persaraan utk makan hari-hari.

Bayangkan betapa stressnya anda jika kesihatan anda terganggu tetapi masih terpaksa memikirkan pekerjaan hanya krn mahukan wang utk perbelanjaan seharian semata-mata krn wang persaraan anda masih belum cukup matang tempohnya.

Jumaat, 23 September 2011

18 Syarat Bersahabat

18 Syarat Bersahabat



1. Kalau mereka susah, memerlukan bantuan, kenalah kita bantu sama ada dengan wang ringgit, tenaga mahupun nasihat dan pandangan kita.
2. Kalau mereka meminta sesuatu, kenalah kita beri. Jika kita tidak mampu, minta maaflah kepadanya.
3. Kenalah ziarah selalu dan lihat-lihatlah apakah yang perlu kita bantu.
4. Sewaktu ke rumahnya, bawalah buah tangan.
5. Berilah hadiah terutama di waktu-waktu yang sesuai seperti mereka mendapat anak, waktu perkahwinan dan sebagainya.
6. Di waktu sakitnya kenalah ziarah dan doakan kesembuhannya.
7. Di waktu mereka mendapat sesuatu yang menggembirakan, hendaklah kita juga lahirkan kegembiraan.
8. Di waktu mereka mendapat sesuatu kesusahan dan kesedihan, hendaklah kita juga melahirkan rasa kesedihan dan kesusahan sama.
9. Kebaikannya selalulah kita puji di belakangnya.
10. Kecacatan dan kekurangan atau keaibannya dan keluarganya, hendaklah kita tutup. Ertinya kita jangan mengumpatnya.
11. Kalau ada orang lain mengumpatnya di hadapan kita, kenalah nasihat orang itu atau kita tinggalkan majlis itu.
12. Kalau dia mengajak kita menemaninya ke mana-mana, kenalah kita menerimanya kecuali kalau ada keuzuran yang tidak dapat dielakkan.
13. Kalau dia menjemput ke majlis, wajib kita menerima jemputannya.
14. Kenalah ziarah serta mengambil perhatian keluarganya selepas matinya.
15. Kenalah ziarah sahabat baiknya. Kalau boleh mengambil perhatian kehidupan keluarga mereka selepas matinya.
16. Selalu mendoakannya di luar pengetahuannya atau bukan di majlisnya.
17. Berilah kemaafan di atas kesalahan terhadap kita.
18. Mintalah maaf kepadanya di atas kesalahan dan kekurangan dan kelemahan diri dalam menunaikan tanggungjawab terhadapnya.

Oleh itu, bersahabat besar ertinya. Kerana itulah Rasulullah SAW memanggil pengikut-pengikutnya dengan perkataan Sahabat. Padahal di dalam bahasa Arab ada perkataan lain yang makna lahirnya agak sama, misalnya zamil atau rafiq. Tetapi erti sahabat lebih mendalam dan mesra.