Kisah di restoran
Setelah puas berpusing-pusing mencari kedai makan, kami singgah ke sebuah restoran makanan segera. Tidak ramai pengunjung kelihatan di situ melainkan tiga meja dipenuhi dengan pelanggan. Tetapi apabila saya melangkah ke kaunter, saya dapati hanya satu kaunter sahaja yang dibuka kerana hanya ada seorang sahaja petugas. Cepat-cepat saya berbaris di belakang tiga orang pelanggan. Tidak sampai seminit, ada tiga orang pelanggan lagi di belakang saya.
Hangat hati mula terasa. 'Kenapa hanya ada seorang petugas di restoran antarabangsa ini? Mana yang lain? Mengapa pengurus membenarkan mereka bercuti? Bukankah pada hari cuti umumlah lebih ramai para pengunjung yang akan datang menjamu selera?'
'Mengapa gadis yang bertugas lambat sangat melayani pelanggan di hadapannya? Dua lagi pelanggan di hadapan tentu akan membuat pesanan untuk sekurang-kurangnya 3-4 orang. Kalau seorang pelanggan mengambil masa lima minit, tentu dua orang akan mengambil masa 10 minit. Wah! Lama sangat, tu!' Hati saya mengarang cerita yang tak tentu fasal akibat naik darah.
Belum pun lima minit terpacak menanti giliran membuat pesanan, dua orang wanita muncul dari arah tempat duduk lalu terus menghimpit ke kaunter. Mereka adalah ibu dan anak berdasarkan wajah mereka yang serupa. Air muka mereka kelihatan keruh.
Si ibu terus membebel. Leterannya disambut oleh si anak. Saya mengagak yang mereka tidak puas hati dengan kelewatan mendapat pesanan setelah lama menanti. Sesekali saya terdengar perkataan 'perkhidmatan pelanggan' disebut-sebut oleh si ibu. Kata-kata itu disahut oleh si anak yang tidak kurang becoknya. Dalam diam, saya mengiyakan kata-kata mereka. Memang sepatutnya petugas itu dibahasakan. Pengurus restoran ini patut meletak jawatan!
Saya nampak si gadis yang bertugas mula hilang seri senyumannya. Malah, wajahnya sudah mencebir akibat dileteri. Kalau saya memakai kaca mata ketika itu, pasti saya nampak air mata yang bertakung di tubir matanya. Dia hampir menjerit meminta rakannya di dapur segera menyiapkan pesanan. Dan, dari tempat saya berdiri, saya nampak hanya seorang sahaja petugas yang menjadi tukang masak di dapur.
'Alahai, kasihannya mereka.' Detik hati saya. 'Apa kata kalau gadis itu adalah anak saya?'
Tiba-tiba, saya mula berasa kasihan terhadap kami semua sebagai pelanggan kerana menyombong lalu berpegang pada prinsip the customer is always right pada waktu sebegitu. Kasihan kerana kami marah pada sesuatu yang tidak akan mengubah keadaan. Kami tetap akan lambat menerima pesanan kerana kurangnya kakitangan yang bertugas. Lainlah jika kami bersingsing lengan dan turun ke dapur untuk memasak sendiri pesanan!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan