PTPTN atau Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional ditubuhkan pada 1997 untuk memberi pinjaman kepada penuntut pengajian tinggi dan selepas belajar, para penghutang ini perlu membayar balik dengan tambahan faedah pengurusan (baca=bunga) sebanyak 4%. Kini kadar faedah bunganya ialah 1%. Menurut Perdana Menteri Malaysia, sejak dimulakan sehingga sekarang sebanyak RM 43 billion telah dipinjamkan oleh tabung ini dan tahun lalu sahaja lebih kurang RM4 billion telah dikeluarkan sebagai pinjaman kepada para penuntut. Tetapi menurut kepimpinan PKR, jumlah sebenar hanyalah RM 27.5 billion sahaja dan baki pinjaman sekarang adalah lebih kurang RM24.7 billion.
Siapa yang untung di sini? Jom kita ambil kursus kejururawatan di Malaysia! Kolej manakah yang menerima pinjaman PTPTN tertinggi di Malaysia? Kolej Masterskill! Pada tahun 2009 sahaja, mereka menerima RM145.5 juta. Tetapi, tahukah kita bahawa Pengerusi Masterskill Governing Council ialah Mohamed Nazim bin Abdul Razak iaitu adik Perdana Menteri Malaysia dan Cancellor Kolej Universiti Sains Kesihatan Masterskill (MUCH) ialah Raja Azureen iaitu anak kepada Sultan Perak. Untung kolej ini pada tahun tersebut ialah RM 97.4 juta. Siapa yang merasai keuntungan ini?
Siapa yang untung? Satu kalkulasi ringkas menunjukkan untuk 12,000 pelajar kejururawatan yang dikeluarkan setiap tahun, jika didarabkan keuntungan kasar sebanyak RM 25,000 seorang, maka pihak institusi mendapat untung RM300 juta. Bagaimana pula untuk kursus-kursus yang lain. Berapakah keuntungan yang masuk ke kocek koperat. Siapa yang untung? Pihak yang memiliki institusi atau penuntut institusi?
Pembocoran skandal ini oleh Gerakan Menuntut Pendidikan Percuma yang diterajui oleh Pemuda Sosialis PSM dan Ahli Parlimen Sg Siput masih tidak mendapat jawapan atau reaksi daripada pihak berkuasa.
Kerajaan telah mengumumkan pojek perkongsian dengan sektor swasta untuk sistem pendidikan dan perkhidmatan awam lain melalui Rancangan Malaysia ke-10. Walaupun projek "penswastaan" pendidikan ini tidak diheboh-hebohkan, beberapa siri tindakan lanjutan telah diambil termasuk pembinaan ribuan tadika di bawah projek Permata (idea Rosmah) dan pemberian kuasa autonomi kepada universiti tempatan dan sekolah. Antara kuasa yang diberikan ialah kemasukan penaja swasta ke sekolah dan universiti. Maka, kuasa tambahan yang diberi termasuk penentuan yuran, pemilihan pelajar dan pendidik serta pengrekrutan tenaga kerja sokongan (pekebun,penjaga keselamatan dan sebagainya).
Walaupun Kerajaan Pakatan Rakyat tidak menghebohkan sistem pendidikan negara akan terbebas daripada cengkaman pasaran/pemodal (baca = mereka masih belum bersedia), sekurang-kurangnya penerapan idea reformis untuk pendidikan percuma / penghapusan PTPTN adalah terlalu dialu-alukan pada ketika ini dan mendapat sokongan penuh daripada Gerakan Menuntut Pendidikan Percuma (GMPP).
Apa yang kami impikan ialah satu sistem pendidikan percuma yang bebas daripada pasaran/pemodal selaras dengan tuntutan umum "Pendidikan Bukan Untuk Diniagakan".