Rangka pejuang Iban Trackers, Sarawak Rangers disemadikan penuh istiadat
TIDAK ramai mengetahui jasa dan pengorbanan anggota tentera peribumi 'Iban Trackers' dan 'Sarawak Rangers' yang sanggup meninggalkan keluarga di Sarawak untuk membantu tentera British khususnya dari Rejimen Gurkha berjuang menentang pengganas komunis di Malaya dan Singapura pada era darurat. Berbekalkan semangat
`Agi Idup Agi Ngelaban' yang menjadi prinsip perjuangan pahlawan Iban sejak dulu, tentera peribumi itu sanggup menempuh cabaran berjuang di negara orang kerana ketika itu, Sarawak dan Malaya (kini Semenanjung) belum bergabung membentuk sebuah negara.
Tentera British berpangkalan di Sarawak menjelajah segenap pelosok negeri mencari anak watan khususnya generasi muda Iban untuk menyertai mereka menggempur pengganas komunis yang mengucar-kacirkan ketenteraman penduduk Malaya ketika itu.
Anak muda Iban menjadi keutamaan tentera British, kerana mereka memiliki kemahiran luar biasa di hutan belantara, bukan saja menjejaki, malah mampu menghidu kehadiran musuh, selain mahir menjalani ikhtiar hidup untuk bertahan berbulan lamanya di hutan tanpa bekalan makanan dibawa dari kem.
Justeru, tidak hairanlah sepanjang era darurat mulai 1948 hingga 1960, lebih 1,000 anak muda Iban dari segenap pelosok Sarawak dikerah ke Malaya untuk menjadi `pengesan' kepada tentera British.
Mereka diberi latihan asas peperangan menentang insurgensi termasuk menggunakan senjata automatik bagi bertindak balas jika diserang hendap.
Setiap anggota hanya berkhidmat kira-kira tiga bulan di Malaya ketika zaman darurat dan dalam tempoh itu, seramai 1,168 pejuang Iban menabur bakti hingga 21 daripadanya maut dalam pertempuran dengan komunis.
Kesukaran perhubungan ketika itu memaksa jenazah pejuang yang gugur di medan pertempuran, terpaksa dikebumikan di beberapa lokasi di Semenanjung dan Singapura.
Ini menyebabkan waris pejuang tidak berpeluang menziarah kubur mereka iaitu satu di Perkuburan Kristian, Jalan Sultanah, Alor Setar; empat di Perkuburan Kristian Jalan Kamunting, Taiping; dua di Perkuburan Kristian Batu Gajah; tujuh di Perkuburan Tentera di Kem Terendak; empat di Perkuburan Kristian Jalan Cheras, Kuala Lumpur dan dua di Perkuburan Tentera Kranji di Singapura.
Veteran Rejimen Renjer Diraja (RRD), Left Kol (B) Robert Rizal Abdullah, yang menyedari nasib menimpa pejuang yang gugur itu meninjau sebuah kubur di Alor Setar, milik Lans Koperal Ungkok anak Jugam yang meninggal dunia pada 13 Februari 1955.
Sedih melihat kubur di tepi jalan sibuk itu pada 2007, Robert Rizal berusaha mendapatkan bantuan Kementerian Pertahanan dan Kerajaan Sarawak untuk memindahkannya ke tempat sewajarnya bagi seorang wira negara.
"Ketika itu saya terfikir, jika satu kubur pahlawan gagal dijaga pihak berkuasa, bagaimana dengan yang lain. Jadi, saya bertekad memindahkan kubur itu ke Kuching bagi memudahkan waris menziarahinya," katanya.
Robert Rizal tidak jemu meminta bantuan kerajaan merealisasikan hasratnya memindahkan rangka pejuang itu dan pada 23 Februari lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, ketika melawat Sarawak memberi jaminan menjayakan operasi khas dinamakan `Ops Mai Pulai' yang bermaksud Operasi Bawa Pulang.
"Akhirnya, dalam tempoh lima bulan, hasrat melihat rangka pejuang dikuburkan semula di tanah kelahiran mereka menjadi kenyataan," katanya pada majlis pengebumian 21 rangka itu di Tanah Perkuburan Pahlawan, berhampiran Taman Budaya, Kuching, baru-baru ini.
Rangka pejuang Iban Trackers dan Sarawak Rangers itu diterbangkan dengan pesawat pengangkut Hercules C-130 dari pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang dan tiba di pangkalan TUDM Kuching tepat jam 1.30 petang, 26 Julai lalu.
Penghormatan tentera diberi anggota Batalion Ke-3, RRD sebaik keranda kecil menempatkan rangka pejuang itu tiba di Kuching dan beberapa pemimpin kanan kerajaan negeri termasuk Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Alfred Jabu anak Numpang serta beberapa menteri Kabinet dan pegawai kanan tentera termasuk Panglima Wilayah Dua, Left Jen Datuk Awie Suboh, Panglima 3 Briged, Brig Jen Datuk Ramli Jaafar dan Panglima 9 Briged, Brig Jen Stephen Mudaw, menyambut ketibaan rangka pejuang itu yang diiringi Pahlawan Negara, PWI (B) Temenggong Kanang anak Langkau.
Pada 27 Julai, semua rangka 21 pejuang itu disemadikan di Tanah Perkuburan Pahlawan Kuching dan sekali lagi istiadat penuh tradisi ketenteraan diadakan dan dihadiri Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud.
Beberapa waris pejuang nyata terharu dengan usaha murni kerajaan serta individu yang membantu Ops Mai Pulai itu, yang menjadikan harapan mereka menziarahi kubur pejuang itu kini satu kenyataan.
http://www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan