Sebagai manusia kita tidak terlepas daripada melakukan kesilapan dan ada kesilapan itu berulang walaupun hati sedar apa yang dilakukan adalah salah bukan saja di sisi undang-undang malah menyalahi ajaran agama, kerana menyebabkan kerosakan kepada diri sendiri. Namun apa yang penting, kita masih diberi hidayah Allah untuk berubah dan menukar kesalahan kepada keadaan yang baik. Tidak kira apa juga alasannya, kesempatan diberikan perlu direbut kerana kita tidak tahu bila lagi kesedaran akan datang jika saat itu gagal dimanfaatkan. Pesakit tadi pernah dipenjara disebabkan kesalahan dadah tetapi yang membanggakan, dia sendiri memilih untuk menghentikan penyakit dihidapi. Memang naluri anak muda, suka mencuba perkara dilarang walaupun asalnya mereka tahu kesan akibat tindakan itu.
Lagi satu, sokongan keluarga penting untuk membantu ahli keluarga yang berdepan masalah. Jangan kerana dia sendiri yang mencari penyakit maka kita biarkan dia sendiri mencari penawar. Menjadi kewajipan ahli keluarga membantu anak, adik beradik atau saudara mereka yang terjerumus dengan penagihan dadah. Kesudian ibu menerima walaupun banyak kali anak mencuri duitnya untuk mendapatkan bekalan dadah akhirnya menyedarkan anak dosa dilakukan dan menguatkan tekad di hati untuk berubah. Inilah rencana Allah dan ada sebab mengapa hamba-Nya didatangkan pelbagai ujian. Begitu juga dengan pasangan homoseksual yang datang untuk mencari penawar kepada virus HIV yang menyerang tubuh mereka akibat terjerumus dalam hubungan dilarang agama. Walaupun hakikatnya mereka tahu HIV tidak ada penawar tetapi itu tidak menghalang mereka untuk berusaha. Selepas mengetahui kesan akibat daripada perbuatan menyalahi hukum agama itu, mereka mengambil keputusan untuk kembali kepada ajaran agama. Selalu kita berkata, biar lambat jangan tak buat langsung.
Sebenarnya kita tidak pernah terlamat kerana selagi kita berpeluang mengubah keadaan, itulah masa disediakan untuk kita. Kenapa mereka berusaha mencari ubat kepada penyakit dihadapi ialah kerana mereka memikirkan masa depan. Remaja atau golongan muda sering dikaitkan dengan sikap terburu-buru apabila membuat keputusan dan terlalu mengikut hati menyebabkan mereka tersalah langkah. Penyakit atau musibah dari Allah hanyalah medium untuk menyedarkan kita kesilapan dilakukan dan mengambil langkah terbaik menghadapinya, bukan terus melakukan kesilapan sama. Jangan salahkan sesiapa di atas perkara tidak baik yang menimpa kita. Perjalanan hidup dilalui kita atau orang lain ada tujuannya. Allah menjadikan manusia berbeza latar belakang, corak pemikiran serta kurniaan nikmat. Kenapa wujudnya perbezaan ialah supaya kita saling belajar dan berfikir. Jangan sekali-kali menyalahkan Allah, keadaan atau orang lain di atas perbuatan kita dan jangan sekali-kali mudah berserah atau berputus harap.
Oh, aku jadi homoseksual kerana itulah kehendak Allah. Tidak sama sekali. Naluri itu hanyalah ujian dan bagaimana kita berdepan dengannya, itulah gunanya akal fikiran yang hanya manusia memilikinya. Oleh itu, apa juga keadaan yang kita atau orang lain lalui, ada tujuannya iaitu supaya kita berfikir bukan hanya berserah kepada takdir. Seperti yang saya selalu pesan kepada mereka yang datang mendapatkan rawatan, Allah menguji hamba-Nya kerana kasih sayang-Nya kepada hamba itu. Justeru, dalam kita berusaha mendapatkan kasih sayang Allah untuk menyembuhkan penyakit dihadapi, hendaklah banyak bersabar, berusaha serta tidak putus berdoa. Kesilapan bukan bermakna kita tidak disayangi tetapi itu adalah sebab untuk membolehkan kita mengerti erti hidup. Semoga kita mengambil iktibar dan berusaha memperbaiki diri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan