Jumlah Paparan Halaman

Isnin, 2 April 2012

Enam Persimpangan

Enam Persimpangan

ABU BAKAR R.A berkata, "Sesungguhnya iblis berdiri di depanmu, jiwa di sebelah kananmu, nafsu di sebelah kirimu, dunia di sebelah belakangmu dan semua anggota tubuhmu berada di sekitar tubuhmu. Sedangkan Allah di atasmu. Sementara iblis terkutuk mengajakmu meninggalkan agama, jiwa mengajakmu ke arah maksiat, nafsu mengajakmu memenuhi syahwat, dunia mengajakmu supaya memilihnya dari akhirat dan anggota tubuh menagajakmu melakukan dosa. Dan Tuhan mengajakmu masuk Syurga serta mendapat keampunan-Nya, sebagaimana firmannya yang bermaksud, "....Dan Allah mengajak ke Syurga serta menuju keampunan-Nya..."

Siapa yang memenuhi ajakan iblis, maka hilang agama dari dirinya. Sesiapa yang memenuhi ajakan jiwa, maka hilang darinya nilai nyawanya. Sesiapa yang memenuhi ajakan nafsunya, maka hilanglah akal dari dirinya. Siapa yang memenuhi ajakan dunia, maka hilang akhirat dari dirinya. Dan siapa yang memenuhi ajakan anggota tubuhnya, maka hilang syurga dari dirinya. Dan siapa yang memenuhi ajakan Allah S.W.T., maka hilang dari dirinya semua kejahatan dan ia memperolehi semua kebaikan."

Iblis adalah musuh manusia, sementara manusia adalah sasaran iblis. Oleh itu, manusia hendaklah sentiasa berwaspada sebab iblis sentiasa melihat tepat pada sasarannya.

Syarahan Iblis Dalam Neraka

Syarahan Iblis Dalam Neraka

DALAM sebuah hadis diterangkan bahawa apabila penghuni neraka sudah sampai ke neraka, maka di situ disediakan sebuah mimbar daripada api, dipakaikan pakaian daripada api, bermahkota daripada api dan diikat iblis dengan tali daripada api.

Ketika itu terdengarlah suara menyeru iblis: "Wahai iblis, naiklah kamu ke atas mimbar dan bersyarahlah kamu kepada penghuni neraka!"

Iblis pun naik ke atas mimbar dan berkata: "Wahai penghuni neraka! Wahai orang-orang yang kafir dan orang-orang munafik! Sesungguhnya Allah telah menjanjikan kepada kamu dengan janji yang benar dan bahawa kamu semua mati, akan dihalau dan dihisab untuk menjadi dua kumpulan. Satu kumpulan ke syurga dan satu kumpulan lagi ke neraka Sa'ir..."

Semua penghuni neraka mendengar segala ucapan iblis yang menjadi ketua mereka. Iblis menyambung: "Kamu semua menyangka bahawa kamu tidak akan meninggalkan dunia bahkan kamu semua menyangka akan tetap berada di dunia selama-lamanya.

"Tidak! Tidaklah ada bagiku kekuasaan ke atasmu melainkan aku hanya mengganggu dan memperdaya kamu semua dengan tipu muslihat. Akhirnya kamu semua mengikuti aku, maka dosanya adalah untuk kamu.

"Oleh itu, janganlah kamu mengumpat dan mencaci aku, sebaliknya umpatlah diri kamu sendiri kerana sesungguhnya kamu sendirilah lebih berhak mengumpat daripada aku mengumpat."

Iblis terus berucap sambil menyoal kebodohan penghuni neraka. Sambil menempelak, iblis mengakui Allah yang paling berkuasa menciptakan segala sesuatu.

"Mengapa kamu tidak mahu menyembah Allah sedangkan Dialah Allah yang menciptakan segala sesuatu?" soal iblis.

Iblis mengakhiri syarahannya dengan berkata: "Hari ini aku tidak dapat menyelamatkan kamu semua daripada seksaan Allah dan kamu juga tidak akan dapat menyelamatkan aku. Sesungguhnya pada hari ini aku telah terlepas daripada apa yang telah aku katakan kepada kamu dahulu, sesungguhnya aku diusir dan ditolak dari hadrat Tuhan, seru sekelian alam."

Setelah itu iblis dipukul oleh malaikat Zabaniah dengan tombak daripada api dan jatuh ke neraka paling bawah. Kekal iblis di situ bersama-sama dengan pengikut setianya

Tiga Doa Rasulullah SAW

Tiga Doa Rasulullah SAW

'AMIR BIN SAID dari bapanya berkata bahawa : "Satu hari Rasulullah S.A.W telah datang dari daerah berbukit. Apabila Rasulullah S.A.W sampai di masjid Bani Mu'awiyah lalu beliau masuk ke dalam masjid dan menunaikan solat dua rakaat. Maka kami pun turut solat bersama dengan Rasulullah S.A.W.Kemudian Rasulullah S.A.W berdoa dengan doa yang agak panjang kepada Allah S.W.T :Setelah selesai beliau berdoa maka Rasulullah S.A.W pun berpaling kepada kami lalu bersabda yang bermaksud : "Aku telah bermohon kepada Allah S.W.T tiga perkara, dalam tiga perkara itu cuma dia memperkenankan dua perkara sahaja dan satu lagi ditolak.

1. Aku telah bermohon kepada Allah S.W.T supaya ia tidak membinasakan umatku dengan musim susah yang berpanjangan. Permohonanku ini diperkenankan oleh Allah S.W.T.

2. Aku telah bermohon kepada Allah S.W.T supaya umatku ini jangan dibinasakan dengan bencana tenggelam (seperti banjir besar yang telah melanda umat Nabi Nuh s.a). Permohonanku ini telah diperkenankan oleh Allah S.W.T.

3. Aku telah bermohon kepada Allah S.W.T supaya umatku tidak dibinasakan kerana pergaduhan sesama mereka (peperangan, pergaduhan antara sesama Islam). Tetapi permohonanku telah tidak diperkenankan (telah ditolak).

Apa yang kita lihat hari ini ialah negara-negara Islam sendiri bergaduh antara satu sama lain, hari ini orang Islam bergaduh sesama sendiri. Maka marilah kita sesama Islam bersatu di bawah tali Islam bukannya bersatu mengikut bangsa atau kaum kerana semua manusia tanpa mengira batas-batas perkauman adalah bersaudara. Selagimana kita tetap berpegang dengan fahaman kebangsaan kita, selagi itulah umat Islam tidak akan bersatu.

Jin, Manusia, Masing-Masing Dibayangi Syaitan

Jin, Manusia, Masing-Masing Dibayangi Syaitan

MENURUT satu pendapat lain daripada Ikrimah, Allah SWT jadikan bagi manusia dan jin itu syaitan-syaitan untuk diri masing-masing. Di mana syaitan-syaitan berkenaan akan bertemu antara satu sama lain menceritakan bagaimana cara mereka menyesatkan pengikut-pengikut mereka.

Tidak ada dinamakan syaitan di kalangan jin dan manusia tetapi Allah telah lahirkan bagi mereka syaitan-syaitan yang menggoda dan menyesatkan manusia dan jin.

Mereka saling bantu membantu antara satu sama lain untuk menyesatkan manusia dan jin sebagaimana firman Allah yang bermaksud, “Sebahagian daripada mereka membisikkan kepada sebahagian yang lain dengan kata-kata dusta yang indah-indah susunannya untuk memperdaya pendengarnya.” (Surah al-An’am: 112)

Ikrimah juga dalam menafsirkan ayat ini menjelaskan bahawa syaitan manusia dimaksudkan dengan syaitan yang menyesatkan manusia, sementara syaitan jin dimaksudkan syaitan yang menyesatkan jin. Syaitan- syaitan berkenaan bertemu antara satu sama lain. Berkatalah salah seorang dari mereka kepada rakan-rakannya: “Sesungguh aku telah menyesatkan pengikut-pengikut ku dengan cara demikian, demikian. Manakala engkau pula menyesatkan pengikut engkau dengan cara begini, begini.” Mereka belajar cara menyesatkan pengikut-pengikut mereka antara satu sama lain.

Sementara Ibnu Jarir mengambil kefahaman daripada penjelasan ini dengan menyatakan bahawa, yang dimaksudkan dengan syaitan-syaitan manusia itu sebagaimana dijelaskan oleh Ikrimah dan as-Suddi ialah syaitansyaitan daripada kalangan jin yang menyesatkan manusia bukan yang dimaksudkan syaitan-syaitan manusia yang menyesatkan sesama manusia.

Tidak syak lagi inilah zahir percakapan Ikrimah. Manakala pendapatan As-Suddi pula (pada pandangan Ibnu Jarir) tidak seperti makna yang dimaksudkan itu.

Ertinya manusia dan jin ada syaitan masing-masing. Manusia ada syaitannya yang menyesatkan mereka dan jin pula ada syaitannya yang menyesatkan mereka.

Sesungguhnya telah diriwayatkan oleh Ibnu Abi Hatim seumpama itu daripada Ibnu Abbas daripada riwayat ad-Dhohhaq. Berkata Ibnu Abbas, sesungguhnya bagi jin ada syaitan yang menyesatkan mereka daripada kalangan jin, manakala manusia ada syaitan yang menyesatkan mereka daripada kalangan manusia.

Bertemu kedua-dua mereka (syaitan daripada kalangan jin dan manusia) sambil menceritakan cara mereka menyesatkan pengikut-pengikut mereka masing-masing sebagaimana dijelaskan dalam ayat ini yang bermaksud, “Sebahagian daripada mereka membisikkan kepada sebahagian yang lain dengan kata-kata dusta yang indah-indah susunannya untuk memperdayakan pendengarnya.” (Surah al-An’am: 112)

Apa yang sahihnya ialah apa yang terdahulu disebut daripada hadis Abi Zar bahawa sesungguhnya bagi manusia terdapat syaitan-syaitan terdiri dari kalangan mereka dan begitu juga jin terdapat syaitan-syaitan di kalangan mereka. Sesungguhnya apa yang dimaksudkan dengan syaitan itu ialah setiap sesuatu yang mendurhakai Allah SWT.

Yang demikian itulah telah dinyatakan dalam hadis sohih Muslim yang diriwayatkan dari Abi Zar bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud, “Anjing hitam itu adalah syaitan.”

Allah sahaja yang mengetahui maksud sebenar hadis ini. Ertinya ada terdapat syaitan di kalangan anjing. Untuk menjelaskan perkara ini banyak riwayat lain menjelaskan bahawa syaitan akan merupakan dirinya seperti binatang termasuk anjing, ular dan seumpamanya dengan merupakan tubuhnya berwarna hitam terutama di waktu senja.

Oleh sebab itu jika ditemui binatang yang dalam keadaan mencurigakan di waktu senja dan badannya berwarna hitam maka halaulah mereka dan ada ulama menasihatkan supaya jangan membunuh mereka.

Jika ditemui binatang dalam keadaan situasi berkenaan maka berkatalah kepadanya: “Wahai binatang, jika engkau syaitan, pergilah kamu dari kami sejauh-jauhnya dan janganlah kamu mengganggu kami lagi.”

Jika didapati ia masih tidak bergerak, masih berada di situ dan ia boleh mengancam keselamatan nyawa kamu, maka bolehlah ia dibunuh kerana ia bukan syaitan tetapi binatang biasa. Allah sahajalah yang Maha mengetahui segala-galanya.

Sementara itu berkata Mujahid dalam menafsirkan ayat ini, sesungguhnya orang-orang kafir di kalangan jin itu adalah syaitan, mereka membisikkan sesuatu kepada syaitan daripada kalangan manusia yakni orang-orang kafir dari kalangan mereka dengan kata-kata dusta yang indah susunannya untuk memperdayakan pendengarnya.

Ke Tandaspun Ada Adabnya

Ke Tandaspun Ada Adabnya


ISLAM mengajar adab tertentu mengenai qadha hajat dan istinjak. Orang Islam tidak melakukan qadha hajat dengan keadaan tidak ingat kepada peraturan dan adab-adabnya.

Pelbagai peraturan telah tersedia untuk kehidupan manusia agar menjadi insan berakhlak mulia.

Sejak bangun tidur sebelum fajar hingga ke waktu tidur semula pada malam berikutnya, setiap detik dilengkapi dengan peraturan dan hukum hakam yang telah ditetapkan oleh agama Islam, untuk mengawal kehidupan manusia agar mereka dalam keredaan Allah SWT.

Makhluk diciptakan berpasangan. Begitu juga taraf sesuatu tempat, ada yang dikategorikan sebagai tempat baik serta mulia. Ada tempat digolongkan sebaliknya, iaitu tempat yang hodoh dan tidak dihormati agama.

Kanan dan kiri mempunyai falsafahnya tersendiri. Islam mensifatkan di kalangan orang yang mendapat keredaan Allah SWT di akhirat dikenali sebagai ‘Ahlul Yamin’ (orang yang mendapat suratan di tangan kanan).

Sementara orang yang gagal mendapat keampunan dan rahmat Allah SWT, disebut sebagai ‘Ahlus Syimal’ (Orang yang mendapat suratan di tangan kiri).

Nabi s.a.w. menyimpulkan bahawa ‘kanan’ sebagai lambang kebaikan, kejayaan dan keredaan Allah SWT. Sementara kiri pula sebagai lambang kejahatan, kegagalan dan kemurkaan Allah SWT.

Sesuai dengan kedudukan sesuatu tempat, maka sepasang kaki antara kanan dan kiri berperanan mengikut kesesuaiannya.

Tandas suatu tempat yang diperlukan, tetapi ia dianggap hodoh oleh agama, maka kaki kiri selayaknya untuk memulakan langkah masuk ke dalamnya, kaki kanan untuk melangkah keluar darinya.

Bagi tempat yang mulia seperti masjid, mushalla dan sebagainya, semestinya dikehendaki melangkah masuk dengan kaki kanan dan keluar dengan kaki kiri.

Demikian indahnya adab atau akhlak yang ditetapkan oleh syariat Islam, tujuannya untuk membina pekerti manusia walaupun dalam perkara yang kecil seperti qadha hajat.

Meskipun urusan qadha hajat dianggap remeh oleh segolongan manusia, mematuhi adab yang diajar oleh Nabi s.a.w. walaupun di tempat yang hodoh seperti tandas itu, pasti mendatangkan pahala kepada orang-orang beriman yang mentaati perintah Nabi s.a.w.

Tandas meskipun dibina dengan bahan yang mahal seperti marmar, jubin dan sebagainya, ia tidak menukar taraf jadi mulia dengan sebab materialnya yang bernilai tinggi.

Islam tidak menilai sesuatu binaan berdasarkan materialnya, sebaliknya berdasarkan taraf yang ditetapkan dan bersesuaian dengan keperluan manusia.

Masjid meskipun dibina hanya dengan batang pokok tamar dan beratapkan daun serta pelepahnya, sebagaimana masjid yang pertama kali dibina oleh Nabi s.a.w. di Kuba, ia tetap mulia kerana taraf masjid di sisi agama ialah sebagai ‘Rumah Allah.’

Di dalamnya tempat manusia sujud menyembah Allah SWT, serta melakukan pelbagai ibadah, zikrullah dan aktiviti-aktiviti lain dalam kemasyarakatan.

Tandas tetap dianggap tempat yang hodoh kerana di situ tempat manusia terpaksa dedahkan aurat kerana qadha hajat.

Sesungguhnya malaikat tidak berada di tempat manusia membuka auratnya, walaupun dalam situasi terpaksa.

Tandas menjadi tempat hodoh terbukti dengan larangan membawa ke dalamnya benda yang bertulis kalimah Allah dan Rasul-Nya. Jika membawa kalimah Allah ke dalam tandas pun terlarang, apatah lagi menyebut kalimah tersebut.

Justeru itu ketika keluar dari tandas disunatkan mengucapkan ‘Ghufranak’ yang bermaksud; memohon ampun kepada Allah SWT.

Apakah kesalahan dan dosa seseorang itu ketika berada dalam tandas, sehingga sebaik saja keluar lantas dianjurkan segera mohon ampun kepada Allah SWT?

Bagi insan bertakwa duduk dalam situasi terhalang daripada menyebut kalimah Allah SWT (zikrullah), ia adalah suatu pembaziran usia yang amat berharga itu.

Wajarlah baginya mohon ampun kepada Allah SWT, apabila terpaksa mensia-siakan detik usia yang dikurniakan kepadanya.

Wajar ikhtiar agar tidak terlalu lama berada di tempat yang hodoh itu.

Justeru itu Nabi s.a.w. mengajar cara duduk bertinggung dengan memberatkan ke kiri ketika qadha hajat, agar boleh mencepatkan proses keluar najis.

Dengan demikian dapat meringkaskan masa dan menjimatkan usia ketika berada di tandas. Bagi seorang mukmin dapat menunaikan qadha hajat dalam tempoh yang segera, adalah suatu nikmat yang wajar disyukuri. 

Justeru sebaik saja seseorang itu keluar tandas mengucap ‘Ghufranak’. Kemudian disusuli dengan ucapan syukur kepada Allah SWT, yang dengan izin-Nya telah mengeluarkan sisa makanan dan minuman yang tersimpan dalam perut, jika tidak keluar pasti akan mendatangkan mudarat kepada diri.

Sebaik saja sisa makanan dalam bentuk najis keluar, ia adalah suatu nikmat yang tidak dapat digambarkan. Lebih besar nikmat qadha hajat itu terutama bagi mereka yang mengalami penyakit sembelit dan sukar membuang najis.

Alhamdulillah syukur kepada Tuhan yang telah menghilangkan penyakit melalui qadha hajat itu, malah telah mengekalkan zat dan pelbagai vitamin terdapat dalam makanan dan minuman, yang diperlukan oleh tubuh badan.

Segala intisari zat dan pelbagai vitamin itu untuk tenaga bagi melaksanakan ibadat sebagai hamba Allah, dan lain-lain kegiatan dan keperluan setiap insan yang berperanan dalam keluarga dan masyarakat.

Keutamaan Bersedekah

Keutamaan Bersedekah

BERIKUT adalah 8 buah hadis, diantara hadis-hadis Rasulullah s.a.w. tentang kelebihan bersedekah, mudah-mudahan dengan menghayatinya memberikan galakan kepada kita semua untuk rajin bersedekah. 

Hadis-1 
"Orang yang mengusahakan bantuan (pertolongan) bagi janda dan orang miskin ibarat berjihad dijalan Allah dan ibarat orang solat malam. Ia tidak merasa lelah dan ia juga ibarat orang berpuasa yang tidak pernah berbuka." (Hadis Riwayat Imam Bukhari)

Hadis-2 
"Barangsiapa ingin doanya terkabul dan dibebaskan dari kesulitannya hendaklah dia mengatasi (menyelesaikan) kesulitan orang lain." (Hadis Riwayat Imam Ahmad)

Hadis-3 
"Bentengilah hartamu dengan zakat, ubati orang-orang sakit (dari kalanganmu) dengan Bersedekah dan persiapkan doa untuk menghadapi datangnya bencana." (Hadis Riwayat Imam Ath-Thabrani)

Hadis-4 
"Tiap muslim wajib Bersedekah. Para sahabat bertanya, "Bagaimana kalau dia tidak memiliki sesuatu?" Nabi s.a.w. menjawab, "Bekerja dengan keterampilan tangannya untuk kemanfaatan bagi dirinya lalu Bersedekah." Mereka bertanya lagi. Bagaimana kalau dia tidak mampu?" Nabi menjawab: "Menolong orang yang memerlukankan yang sedang teraniaya" Mereka bertanya: "Bagaimana kalau dia tidak melakukannya?" Nabi menjawab: "Menyuruh berbuat ma'ruf." Mereka bertanya: "Bagaimana kalau dia tidak melakukannya?" Nabi s.a.w. menjawab, "Mencegah diri dari berbuat kejahatan itulah sedekah." (Hadis Riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim)

Hadis-5 
"Orang yang membatalkan pemberian (atau meminta kembali) sedekahnya adalah seperti anjing yang makan kembali muntahannya." (Hadis Riwayat Imam Bukhari)

Hadis-6 
"Barangsiapa diberi Allah harta dan tidak menunaikan zakatnya kelak pada hari kiamat dia akan dibayang-bayangi dengan seekor ular bermata satu di tengah dan punya dua lidah yang melilitnya. Ular itu mencengkam kedua rahangnya seraya berkata, "Aku hartamu, aku pusaka simpananmu." Kemudian nabi s.a.w. membaca firman Allah surat Ali Imran ayat 180: "Dan janganlah orang-orang yang bakhil dengan harta yang Allah berikan kepada mereka dari karunia-Nya menyangka bahawa kebakhilan itu baik bagi mereka. Sebenarnya kebakhilan itu buruk bagi mereka. Harta yang mereka bakhilkan itu akan dikalungkan kelak di lehernya di hari kiamat. Dan kepunyaan Allah lah segala warisan (yang ada) di langit dan di bumi." (Hadis Riwayat Imam Bukhari)

Hadis-7 
"Abu Dzarr R.a. berkata bahawa beberapa sahabat Rasulullah s.a.w. berkata, "Ya Rasulullah, orang-orang yang banyak hartanya memperoleh lebih banyak pahala. Mereka solat sebagaimana kami solat dan berpuasa sebagaimana kami berpuasa dan mereka boleh bersedekah dengan kelebihan harta mereka." Nabi s.a.w. lalu berkata, "Bukankah Allah telah memberimu apa yang dapat kamu sedekahkan? Tiap-tiap ucapan Tasbih adalah sedekah, Takbir sedekah, Tahmid sedekah, Tahlil sedekah, Amar Makruf sedekah, Nahi Mungkar sedekah, Berjimak dengan isteri pun sedekah." Para sahabat lalu bertanya, "Apakah memuaskan nafsu syahwat mendapat pahala?" Nabi menjawab, "Tidakkah kamu mengerti bahawa kalau dipuaskan nafsu syahwat di tempat yang haram bukankah itu berdosa? Begitu pula kalau syahwat diletakkan di tempat halal, maka dia memperoleh pahala." (Hadis Riwayat Imam Muslim)

Hadis-8 
"Tiap-tiap amalan makruf (kebajikan) adalah sedekah. Sesungguhnya di antara amalan makruf ialah berjumpa kawan dengan wajah ceria (senyum) dan mengurangi isi baldi mu untuk diisikan ke mangkuk kawan mu." (Hadis Riwayat Imam Ahmad)

Penyebar Fitnah Lebih Bahaya Daripada Syaitan

Penyebar Fitnah Lebih Bahaya Daripada Syaitan




CORAK hidup masyarakat yang aman, harmoni dan penuh persefahaman menjaga hubungan baik dengan khaliq (hablun minallah), iaitu sentiasa melakukan ibadat dengan ikhlas dan taat. Pada masa sama, mereka menjaga hubungan baik sesama manusia (hablun minannas) tanpa mengira peringkat umur, taraf sosial dan warna kulit.

Jika hubungan ini tidak dititikberatkan, tentu kehidupan diidamkan gagal menjadi realiti bahkan dilanda kehinaan, dibelenggu pelbagai kesulitan dan dimurkai Allah. Hal ini dapat kita fahami menerusi ayat bermaksud:

"Mereka ditimpa kehinaan (dalam segala jurusan) di mana saja mereka berada, kecuali dengan sebab daripada Allah serta manusia, dan sudah sepatutnya mereka beroleh kemurkaan Allah, dan mereka ditimpa kemiskinan (dalam segala jurusan)" (QS Ali Imran: 112).

Banyak bukti sepanjang zaman hubungan sesama manusia terputus disebabkan pelbagai faktor seperti fitnah dicetuskan segelintir manusia berhati kotor dan tidak bertanggungjawab. Akibatnya berlaku perpecahan, perbalahan dan permusuhan, malah sampai tahap pertumpahan darah.

Hidup masyarakat tidak aman dan mesra. Begitulah kepahitan hidup kesan fitnah. Lantaran, perbuatan itu dianggap pengkhianatan dan kejahatan sangat berbahaya dan perlu segera disingkirkan.

Imam Abu Laits As Samarqandi menyatakan: "Tidak ada perbuatan jahat lebih besar daripada fitnah". Ada ulama menyatakan penyebar fitnah lebih jahat daripada pembunuh, tukang sihir dan syaitan.

Seperti pernah diungkap Imam Yahya Aktsam: "Orang yang suka memfitnah dan mengadu domba lebih jahat daripada tukang sihir kerana kejahatannya dalam sesaat, pada hal tukang sihir memerlukan waktu banyak".

Perbuatan orang yang suka memfitnah dan mengadu domba lebih berbahaya daripada syaitan kerana perbuatan syaitan hanya dengan khayalan dan bisik sedangkan perbuatan memfitnah dan mengadu domba secara terang-terangan dan berdepan.

Akibat fitnah juga lebih merosak daripada pembunuhan kerana pembunuhan hanya mengorbankan satu atau dua orang sedangkan fitnah dan adu domba mampu menghancurkan masyarakat dan negara.

Mungkin ramai yang masih tidak mengetahui secara tepat apakah maksud fitnah. Mengikut Kamus Dewan, fitnah bermaksud tuduhan, khabar atau kisah yang diada-adakan atau dibuat-buat untuk memburukkan seseorang.

Dalam hadis Rasulullah daripada Abi Hurairah menerangkan secara jelas pengertian fitnah: "Tahukah kamu apakah memfitnah?" Sahabat berkata: "Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui."

Baginda bersabda: "Memfitnah adalah mengatakan sesuatu mengenai saudara (Muslim) ketika tiada yang dia tidak suka." Ditanya: "Wahai Rasulullah, jika kekurangan itu sungguh ada dalam diri seorang Muslim, maka apa yang harus kami katakan?" Baginda menjawab: "Jika apa yang dikatakan itu benar, maka itu adalah mengumpat." (Riwayat Muslim).

Ada ulama menafsirkan penabur fitnah sebagai memakan daging orang mati. Daging manusia yang disiat, digigit dan dikunyah mendatangkan kesakitan dan penderitaan yang amat sangat, begitulah perumpamaan mengumpat dan memfitnah yang menyakitkan hati orang lain.

Fitnah bukan perkara baru, bahkan berlaku sejak zaman silam. Rasulullah tidak sunyi daripada dilanda fitnah yang sengaja dicetuskan musuh Islam antaranya mereka menuduh Rasulullah gila, tukang sihir dan lelaki pemecah-belah masyarakat.

Selain itu, dituduh kebijaksanaan Baginda hasil belajar daripada orang lain termasuk tuduhan dan bohong terhadap diri Baginda yang mulia. Hati setiap Muslim berasa sakit bagai ditusuk apabila mendengar fitnah itu. Pada hal Allah memberi keterangan bermaksud:

"Dan tiadalah yang diucapkannya itu (al-Quran) menurut kemahuan hawa nafsunya. Ucapannya itu tiada lain hanyalah wahyu yang diwahyukan (kepadanya)." (QS an_Najm: 3-4)

Saidatina Aisyah juga pernah difitnah orang yang dengki dan anti- Islam. Saidatina Aisyah dituduh berdua-duaan dengan sahabat bernama Safuan Al-Muattal As-Sulami Az-Zakwani. Cerita sebenarnya isteri Rasulullah `tertinggal' (daripada pasukan tentera sedang berjalan) kerana leka mencari kalung yang tercicir.

Apabila menyedari Saidatina Aisyah keseorangan, Safuan (yang ditugaskan mengawal di belakang kumpulan kaum Muslimin) menumpangkan isteri Rasulullah itu di belakang untanya sementara dia mengheretnya sehingga mereka berjaya mendapatkan semula tentera yang berhenti rehat kerana cuaca panas terik. Mereka juga tidak bercakap sepanjang perjalanan itu.

Cerita ini disensasikan oleh Abdullah Ubai Salul yang berhati busuk. Namun, semua ini dihadapi Rasulullah dengan sabar sesuai dengan taraf Baginda sebagai nabi yang mendapat gelaran ulul`azmi.

Kabilah Aus dan Khazraj yang sudah bersatu serta berdamai, ada ketika menjadi tegang dan hampir berlaku perpecahan akibat fitnah dicetuskan Yahudi. Mereka memang tidak senang dengan perdamaian itu yang dilakukan Rasulullah di Madinah.

Oleh sebab jualan senjata orang Yahudi merosot selepas dua kabilah itu berdamai, maka tiada berperang. Namun rancangan orang Yahudi akhirnya dapat dihidu Rasulullah. Selepas dibicarakan, ternyata Huyay Akhtab daripada bani Nazir menjadi penghasut dan penabur fitnah.

Sesungguhnya fitnah adalah perbuatan khianat yang dibenci Allah kerana mengatakan sesuatu tidak benar boleh memporak-perandakan rumah tangga, tercetus perbalahan dan mencemar maruah seseorang.

Hari ini, fitnah bukan saja tersebar melalui lisan, bahkan keadaannya lebih meluas iaitu melalui media massa dan internet. Dalam sekelip masa, fitnah boleh tersebar ke seluruh dunia.

Dalam sekelip mata juga kita dapat melihat seorang pemimpin yang handal boleh jatuh, rumah tangga bahagia bergoncang dan berkecai atau orang berwatak baik boleh tercemar maruahnya angkara fitnah.

Memandangkan fitnah boleh membawa bahaya besar, setiap Muslim perlu menjauhi diri daripada perbuatan terkutuk itu. Sesungguhnya fitnah tidak berlaku jika masyarakat beriman, jujur, istiqamah dalam melakukan ibadat, tidak mementingkan diri, tidak tamak harta, tidak gila kuasa, tidak mengikut telunjuk syaitan dan tidak tunduk kepada nafsu.

"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)